Hibrid harimau-singa bernama Hercules seberat 418 kilogram dinobatkan sebagai ‘Kucing Terbesar’ oleh Rekod Dunia Guinness

Uncategorized

Untuk pengetahuan anda, terdapat sejenis mamalia yang dikenali sebagai harimau ‘sabre-tooth’ dipercayai sangat digeruni di muka bumi kira-kira 42 juta tahun dahulu. Ia dapat diringkaskan sebagai mamalia pemangsa yang memiliki gigi panjang dan tajam.

Kini, sudah 12,000 tahun mamalia berkenaan pupus daripada bumi. Namun, kepesatan sains dan teknologi pada hari ini berjaya mencipta harimau-singa ataupun ‘liger’ hibrid (antara singa jantan dengan harimau betina) yang mencapai saiz setanding dengan harimau sabre-tooth yang mengerikan itu.

Umumnya, spesies liger adalah lebih besar berbanding dengan kedua induk ibu bapanya, iaitu harimau dan singa. Sebaliknya, hibrid bersilang antara harimau jantan dan singa betina lazimnya menghasilkan baka yang lebih kecil.

Walaupun hibrid bersilang antara singa jantan dan harimau betina berlaku secara semula jadi tanpa memerlukan IVF, tetapi ia hanya berlaku di taman dan pusat perlindungan memandangkan kedua-dua jenis haiwan ini tidak bercampur di habitat asal.

Di Myrtle Beach Safari Park yang terletak di Carolina Selatan, pemiliknya, Bhagavan Antle dan anaknya Kody Antle telah mendedahkan seekor liger yang menjadi tumpuan dunia, apabila liger seberat 418 kilogram yang bernama Hercules itu dinobatkan sebagai ‘Kucing Terbesar’ oleh Rekod Dunia Guinness.

View this post on Instagram

Power levels over 9000‼️

A post shared by Kody Antle (@kodyantle) on

Bukan itu sahaja, pusat berkenaan turut memperkenalkan Apollo, seekor liger putih dengan berat 318 kilogram. Lebih unik lagi apabila Apollo merupakan hasil baka daripada singa jantan putih dan harimau betina putih, sekaligus menjadikan ia lebih istimewa.

Taman safari berkenaan difahamkan telah dibuka sejak tahun 1983, di mana ia menawarkan peluang untuk pengunjung berinteraksi dengan gajah, anak harimau, burung helang, monyet dan juga menyaksikan sendiri ‘kucing terbesar’ di dunia.

Menurut rekod yang dikeluarkan daripada Rekod Dunia Guinness, pemakanan harian Hercules terdiri daripada 13.6 kilogram daging lembu ataupun ayam sehari, di mana tenaga daripada makanan itu dengan pantas dibakar apabila Hercules mula berenang dan berlari.

Sungguhpun begitu, baka liger ini menerima kontroversi apabila ramai golongan yang menjalankan kerja-kerja pemuliharaan haiwan tidak bersetuju kerana singa dan harimau tidak berkongsi habitat asal yang sama dan membiak secara semula jadi di alam liar.

Masalah yang lebih besar akan timbul apabila liger jantan yang dihasilkan lazimnya mandul selain mempunyai kecacatan kelahiran yang memberi kesan buruk terhadap jangka hayat liger berkenaan. “Hibrid tersebut berisiko besar membawa kepada kerosakan genetik”, jelas Luke Hunter selaku wakil kumpulan pemuliharaan, Pantera.

Persatuan Zoo dan Akuarium (AZA) juga turut mempunyai polisi yang menentang pembiakan sebegini, apatah lagi untuk mencipta haiwan dengan warna tertentu (putih). “Membiakkan haiwan yang tidak mempunyai ciri-ciri lazim dan variasi sebegini akan memberikan mesej pendidikan yang mengelirukan”, tulis AZA dalam satu kenyataan.

Manakala Pengarah Inisiatif National Geographic Society’s Big Cats, Luke Dollar pula berkata, “Jika kita mahu spesies kucing tersebut dikenali dan diberi penghormatan, mengapa kita melakukan eksperimen ini yang ternyata tidak terjadi secara semula jadi dan merupakan amalan yang tidak mengikut prinsip biologi?”.

Pihak safari pula mendakwa bahawa usaha pembiakan liger itu sebenarnya bertujuan untuk membantu kelangsungan hidup populasi harimau di dunia dan bukanlah untuk mencipta spesies silang pelik dan menakjubkan untuk dipertontonkan kepada pengunjung.

Pada laman webnya, organisasi itu menjelaskan bahawa mereka berharap agar dapat menyelamatkan haiwan eksotik seperti harimau yang gagal dibiakkan secara semula jadi di alam liar, di mana ia berpunca daripada aktiviti manusia yang memusnahkan 99% habitat semula jadi mereka.

“Terdapat banyak pelaburan bagi usaha pemuliharaan harimau. Buat masa ini hanya 3,000 ekor sahaja harimau yang masih tersisa di alam liar dan satu-satunya cara untuk mengelakkan kepupusan secara langsung adalah melalui pembiakan sebegini”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *