Australia : Ribuan kilogram lobak merah dan ubi keledek diturunkan daripada udara bagi memberi makanan hidupan liar yang terjejas akibat kebakaran hutan

Uncategorized

Bagi menangani masalah kebuluran yang dialami oleh haiwan liar ekoran krisis kebakaran hutan, pihak kerajaan tempatan difahamkan telah memulakan operasi bantuan makanan berupa ribuan kilogram lobak merah dan ubi keledek yang dilepaskan oleh helikopter di udara.

Operasi itu yang dijalankan di kawasan berbatu (habitat semula jadi wallaby) dinamakan sebagai ‘Operation Rock Wallaby’ oleh New South Wales National Park and Wildlife Service bagi menyelesaikan masalah dan risiko kekurangan populasi wallaby ekoran fenomena dahsyat tersebut.

Untuk sepanjang minggu lalu, pihak NSW Park and Wildlife Service telah menjatuhkan sayuran segar berjumlah 2,200 kilogram daripada udara untuk dimakan oleh koloni wallaby khasnya di Lembah Capertree dan Wolgan, Taman Negara Yengo, Lembah Kangaroo, sekitar Jenolan, Oxley Wild River dan Taman Negara Curracubundi.

Menteri Alam Sekitar New South Wales, Matt Keane berkata bahawa haiwan liar di kawasan hutan yang berjaya menyelamatkan diri pasti kebuluran kerana sumber makanan mereka sudah musnah. “Lazimnya wallaby mampu menyelamatkan diri daripada kebakaran namun berhadapan dengan kekurangan sumber makanan”.

“Wallaby berkenaan sememangnya mengalami tekanan daripada musim kemarau, selain terpaksa berhadapan dengan situasi mencabar tanpa sebarang bantuan”, jelasnya. Oleh itu, pihaknya akan sentiasa memantau sebarang perkembangan spesies itu dalam proses pemulihan selepas kebakaran.

“Kami juga akan meletakkan kamera untuk memantau pengambilan makanan dan jumlah kepelbagaian haiwan liar di kawasan terbabit”, tambahnya lagi. World Wildlife Fund (WWF) sebelum ini menganggarkan bahawa 1.25 bilion haiwan telah terkorban secara langsung ataupun tidak langsung daripada kebakaran yang berlaku di Australia.

“Kehilangan ini juta termasuklah ribuan koala yang berharga di New South Wales dan juga beberapa spesies ikonik yang lain seperti kangaroo, wallaby, glider, potoros, burung kakak tua dan juga burung pemakan madu”, kata Ketua Pegawai Eksekutif WWF Australia, Dermot O’Gormon.

Selain inisiatif pemberian makanan ekoran kemusnahan habitat asal semula jadi haiwan liar, terdapat juga badan amal kebajikan haiwan, Animals Australia yang turut menggunakan pesawat bagi mengangkut bekalan makanan untuk diberikan kepada haiwan yang mengalami kecederaan dan terbakar di kawasan Victoria.

Badan amal tersebut difahamkan bergantung kepada dana sumbangan untuk memajak pesawat kecil lalu memenuhinya dengan beg gandum dan pelet sebelum diberikan kepada hidupan liar melalui program Vets for Compassion.

Jenny Evans/Getty Images

Pesawat pertama yang membawa Dr Elaine Ong dan Dr Chris Barton diterbangkan pada hujung minggu lalu untuk ke Mallacoota, kemudian ia disusuli dengan dua buah pesawat lain yang membawa bekalan makanan dan perubatan pada hari Rabu ke lokasi kebakaran yang sama.

Kumpulan tersebut difahamkan telah menghantar sebanyak tiga tan makanan kepada kangaroo di kawasan berkenaan selain sebuah janakuasa dan keperluan penting yang lain. Manakala dua buah pesawat lagi turut dipenuhi dengan bekalan yang sama juga akan dihantar dalam masa terdekat.

SAEED KHAN/AFP via Getty Images)

Wakil Animals Australia, Lyn White berkata bahawa mereka sedang bekerja sedaya mungkin untuk memastikan agar hidupan liar terselamat daripada kebakaran dan akan diberikan makanan. “Dengan jalan raya yang ditutup sejak beberapa minggu, ia meningkatkan risiko kebuluran haiwan tersebut. Adalah tragik sekiranya keperluan hidupan ini tidak dipenuhi”, katanya.

“Keadaan cuaca sekarang agak baik namun kami masih lagi berusaha sebaik mungkin untuk memberikan makanan kepada haiwan yang kelaparan. “Kami amat terharu dan berterima kasih terhadap sokongan daripada seluruh dunia. Matlamat utama kami adalah untuk memastikan dana ini digunakan terus kepada haiwan yang terjejas”, tulis  Animals Australia dalam satu kenyataan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *