Ketepikan perbezaan bangsa, guru ini berusaha menyambung kembali bekalan air serta memberi kelengkapan rumah pada keluarga yang memerlukan

Uncategorized

Ternyata guru menggalas tugas dan tanggungjawab begitu besar, bukan sahaja terhadap anak muridnya malah kepada masyarakat. Itulah yang dilakukan oleh seorang guru bernama Mohd Fadli Salleh.

"Cikgu. Saya Kak Yati dari PPR xxxx. Ada satu keluarga Cina di sini setiap hari datang tumpang mandi rumah saya sebelum…

Gepostet von Mohd Fadli Salleh am Sonntag, 19. Januar 2020

Mohd Fadli Salleh/Facebook

Menerusi satu kenyataan yang dibuat di laman Facebook, guru berkenaan berkongsi satu pengalamannya di luar bilik darjah yang begitu memberi inspirasi buat sesiapa yang membacanya.

Pada suatu hari, guru tersebut menerima satu panggilan daripada seorang wanita yang mesra disapa Kak Yati yang menetap di satu kawasan PPR. Menurut Kak Yati, ada sebuah keluarga Cina di berdekatan rumahnya setiap hari akan datang dan tumpang mandi di rumahnya sebelum pergi ke sekolah.

“Boleh cikgu bantu keluarga ini”, soal Kak Yati. Tanpa berfikir panjang, guru berkenaan terus meminta alamat keluarga tersebut dan dia berjanji akan singgah ke alamat yang diberikan jika berkelapangan.

Difahamkan bahawa Fadli berkesempatan melawat rumah keluarga tersebut pada akhir tahun lalu dan melihat sendiri keadaan sekeluarga yang berbeza bangsa dan agama dengannya. Keadaan rumah menurut Fadli tidak ubah seperti tongkang pecah.

Mohd Fadli Salleh/Facebook

Si bapa menurutnya tidak boleh bekerja berat memandangkan menghidapi pelbagai penyakit kronik manakala si isteri pula bekerja sebagai seorang pencuci di sebuah hotel yang terletak di Ampang dan anak-anak mereka masih bersekolah.

Walaupun hidup susah, namun anak-anaknya sangat menghormati guru terbabit. Mereka akan datang bersalam dengan Fadli dan mereka akan berbual meskipun kelihatan seperti ayam dan itik sedang berborak.

Mohd Fadli Salleh/Facebook

Tambah Fadli lagi, bekalan air di rumah berkenaan terpaksa dipotong ekoran tidak mampu dibayar bahkan sewa rumah pun sudah tertunggak sehingga mencecah ribuan Ringgit sehingga notis mengarahkan mereka keluar daripada rumah sudah pun dikeluarkan.

Sungguhpun mereka hidup miskin namun aspek pendidikan anak-anak tidak pernah diabaikan. Ketika Fadli tiba di rumah mereka, dua orang anak mereka tiada di rumah kerana menghadiri kelas tambahan percuma yang dianjurkan oleh persatuan penduduk.

Setelah itu, Fadli memutuskan untuk membantu keluarga ini, sekurang-kurangnya membantu mereka mendapatkan bekalan air bersih dan keluar daripada timbunan sampah sarap di rumah dengan Kak Yati menjadi orang tengah.

Kak Yati difahamkan menjadi perunding dengan pihak pengurusan PPR dan juga memberi laporan. Akhirnya mereka berjaya berurusan untuk bekalan air disambung semula dengan syarat bahawa bayaran sewa rumah perlu berganda.

Mohd Fadli Salleh/Facebook

Selesai masalah air, kini Fadli berhadapan dengan masalah untuk menguruskan timbunan sampah sarap yang dikutip si bapa. Menurut si bapa, dia mengutip sampah tersebut kerana mahu dikitar semula dan katanya boleh meraih sedikit wang daripadanya.

Mohd Fadli Salleh/Facebook

Memandangkan rumah mereka berada di tingkat 11, ini sedikit sebanyak membuatkan sampah dan barangan terpakai berkenaan agak sukar dibawa turun. Ianya difahamkan sudah terkumpul selama bertahun-tahun dan tidak pernah dijual.

Mohd Fadli Salleh/Facebook

Oleh yang demikian, Fadli meminta bantuan pasukan Gerila Dana Kita bersama dengan seorang lagi guru, Muhammad Irwan yang mempunyai pelajar yang sedia membantu pada bila-bila masa. Bersama-sama, mereka mengambil masa selama 2 minggu membersihkan rumah.

Mohd Fadli Salleh/Facebook

Sejumlah 3 buah lori sampah diperlukan untuk membersihkan kesemua sampah dan barangan yang terdapat pada rumah keluarga terbabit. Dinding rumah itu kemudian dicat semula, tingkap dipasang langsir selain lantai turut diletakkan tikar.

Mohd Fadli Salleh/Facebook

Bukan itu sahaja, bantal dan tilam baru juga turut diberikan kepada mereka. Maka dapatlah mereka menyambut perayaan Tahun Baru Cina kali ini dengan kemeriahan yang berbeza. Yang sudah bertahun-tahun mereka tidak kecapi, yang bertahun-tahun tiada siapa peduli.

Guru tersebut juga berjanji akan membantu sesiapa sahaja yang dilanda kesusahan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa. Usaha guru murni terbabit sememangnya sukar untuk ditemui pada zaman sekarang. Semoga kita semua mendapat pengajaran daripada kisah ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *