KKM : Minum air secara melampau mampu mendatangkan keracunan air

Uncategorized

Rata-rata daripada kita tahu akan kepentingan membekalkan air yang mencukupi pada tubuh. Ini kerana air membantu organ dalaman kita berfungsi dengan baik selain memandangkan air merupakan kandungan kedua terpenting yang diperlukan oleh tubuh selepas oksigen.

Kekurangan air akan mengakibatkan seseorang itu mengalami dehidrasi, di mana ia akan menyebabkan keletihan dan kelesuan otot, sakit kepala, selain membawa kepada kemerosotan pada aspek fizikal tubuh badan.

Setiap hari, anda akan kehilangan air melalui proses pernafasan, perpeluhan, menerusi air kencing dan usus. Untuk badan anda berfungsi dengan baik, anda mesti menambah bekalan air yang diperlukan dengan meminum air dan mengambil makanan yang mengandungi air.

Pexel | Maurício Mascaro

Namun anda harus juga sentiasa beringat. Walaupun minum air banyak faedahnya terhadap tubuh manusia namun ia juga berupaya mendatangkan kemudaratan jika diambil secara berlebihan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman Twitter rasmi kementerian berkenaan baru-baru ini ada memuat naik satu tweet penting kepada semua.


Tahukah anda bahawa pengambilan air secara melampau dan tidak terkawal boleh menyebabkan ‘hyponatremia’ iaitu keracunan air atau ‘water intoxication’ yang memberi kesan kepada kesimbangan elektrolit (kepekatan garam) di dalam tubuh seseorang.

Keracunan atau mabuk air ini dapat diringkaskan sebagai gangguan fungsi otak kerana minum terlalu banyak air, di mana ia juga akan meningkatkan kandungan air dalam darah anda. Air berlebihan sekaligus dapat mencairkan elektrolit (natrium).

Apabila kandungan natrium dalam badan merosot, ia akan membawa kepada hyponatremia. Memandangkan natrium berfungsi sebagai pengimbang cecair di dalam dan di luar sel, maka kekurangan paras natrium juga mengganggu proses pertukaran cecair di dalam dan luar sel sekaligus menyebabkan ianya membengkak.

Apabila keadaan ini berlaku kepada sel-sel otak, ia boleh menghasilkan kesan berbahaya seperti sawan, koma dan juga berpotensi mengancam nyawa. Jadi, seeloknya anda amalkan secara bersederhana ya? Jangan terlalu sedikit dan jangan pula terlalu banyak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *