Lain dari yang lain, pasangan kembar ini temui satu sama lain melalui hebahan daripada warganet!

Uncategorized

Lazimnya, plot yang mengisahkan tentang pasangan kembar yang terpisah sejak bayi hanya boleh ditemui dalam drama televisyen sahaja.

Tetapi, nampaknya plot yang sama ini rupanya benar-benar berlaku di alam nyata dan menariknya, pasangan kembar ini berjaya menemui saudara kandungnya menerusi hebahan warganet.

Seperti tidak masuk akal apabila difikirkan!

@bileeuww/Twitter

Baru-baru ini, Nabila Az-Zahra ada memuat naik kiriman yang memaklumkan kepada orang ramai bahawa dia telah berjaya menemui saudara kembarnya yang tidak pernah ditemui sebelum ini.

Setelah 16 tahun, akhirnya pasangan kembar ini berjaya disatukan hanya selepas saudara kembarnya, Nadya Elvira membuat bebenang di laman Twitter yang secara kebetulannya menjadi tular.

@bileeuww/Twitter

“Pada mulanya saya terkejut, tidak mungkinlah wajah kami benar-benar serupa? Saya juga berasa seperti tidak percaya kerana saya memang dibesarkan bersendirian, tinggal bersama keluarga yang sederhana, tetapi bahagia,” tulis Nabila menceritakan perasaannya ketika mula mengetahui tentang Nadya.

Keesokan harinya, Nabila mendapati bahawa saudara kembarnya, Nadya, ada meninggalkan mesej di laman Instagramnya.

@bileeuww/Twitter

Nadya pada mulanya hanya bersembang kosong dengan Nabila sebelum Nabila meminta untuk berbincang tentang ‘hal yang sebenar’.

“Kamu fikir wajah kita serupa atau tidak?”

Ternyata soalan Nadya membuatkan Nabila berasa sangat terhibur kerana semuanya “seperti mimpi!”

Lantas, Nabila meminta izin Nadya untuk berhubung melalui panggilan video dan Nadya dengan senang hatinya bersetuju.

@bileeuww/Twitter

Sepanjang panggilan video, pasangan kembar ini sempat berkenalan dengan lebih lanjut dan yang mengejutkan adalah, hampir 90% jawapan Nadya adalah sama dengan Nabila.

Dari berat badan, ketinggian, minuman kegemaran, ukuran saiz kaki dan sebagainya. Semuanya serupa kecuali warna kegemaran sahaja yang berbeza antara keduanya.

Berikutan itu, Nabila yang berasa sangat terkejut memutuskan untuk terus bertanyakan tentang hal ini kepada ibunya.

@bileeuww/Twitter

“Ma, adakah saya mempunyai saudara kembar? Saya masih keliru tetapi rupa saya begitu mirip dengannya, sehinggakan tarikh lahir kami juga sama,” tanya Nabila kepada ibunya.

“Jika kamu mengetahui hal yang sebenarnya, kamu tidak akan meninggalkan mama dan papa, bukan? Mama dan papa sangat sayangkan kamu, nak,” luah ibu Nabila dengan bimbang.

@bileeuww/Twitter

Ibu Nabila masih lagi belum mahu menceritakan hal sebenar sehinggalah Nabila terjumpa mesej yang diterima oleh ibunya yang tertulis, “saya rindu anakku, saya mahu bertemu dengannya,”

Dengan perasaan yang terlalu ingin tahu, Nabila memaksa ibunya untuk menceritakan hal yang sebenar sehinggalah akhirnya ibu Nabila mengakui bahawa Nabila sebenarnya adalah seorang anak angkat.

@bileeuww/Twitter

Nabila diambil dan dijaga ketika masih bayi oleh bapa Nabila yang kebetulan bersahabat dengan bapa kandung Nabila. Menurut ibu Nabila, keluarga kandung Nabila tidak mampu untuk menjaga dan membesarkan Nabila.

Tetapi, yang paling mengejutkan adalah, Nabila sebenarnya bukanlah hanyalah kembar dua beradik, tetapi tiga beradik!

@bileeuww/Twitter

Bagaimanapun, ibu Nabila langsung tiada informasi mengenai mana-mana saudara kembar Nabila, termasuklah Nadya.

@bileeuww/Twitter

“Selepas mengetahui semuanya, saya gembira kerana telah bertemu dengan kembar saya, dan dalam masa yang sama berasa sedih kerana kisah kami sebenarnya begini, diluar jangkaan saya dan Nadya,” tulis Nabila tentang perasaannya selepas mengetahui semuanya.

“Tetapi saya bersyukur, kerana boleh hidup dan bahagia bersama keluarga kecilku yang dari dahulu lagi ikhlas membesarkanku sehingga sekarang,”

@bileeuww/Twitter

Sehingga kini, Nabila dan Nadya masih lagi berusaha untuk mencari saudara kembarnya yang lagi seorang, yang tidak mustahil boleh ditemui melalui internet juga.

Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman ini telahpun menjadi tular sehingga mendapat sebanyak 28,900 sukaan, 11,478 retweet dan lebih dari 1,100 komen daripada warganet yang rata-ratanya sangat terharu dan berasa tidak percaya dengan penemuan ini.

Apa-apapun, tahniah diucapkan kepada kedua orang pasangan kembar ini dan semoga segala usaha untuk mencari saudara kembar yang seterunya dipermudahkan selalu!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *