Penangan Tupperware, lelaki ini sanggup berpatah balik ke sekolah selepas anaknya tertinggal botol air

Uncategorized

Peralatan dapur seperti set kuali, set pinggan mangkuk, periuk belanga dan macam-macam lagi merupakan barangan kesayangan buat kaum-kaum ibu.

Tidak percaya? Cuba anda hilangkan atau pecahkan salah satu daripadanya. Tidak semena-mena ibu anda tarik muka atau ‘hadiahkan’ bebelan nanti!

Lebih kronik lagi apabila ia akan menjadi bahan ungkitannya pada masa akan datang ataupun dijaja kepada kaum keluarga dan sahabat handai yang lain. Haru juga bukan? Begitu bernilai barangan kesayangan mereka ini nampaknya.

Selain daripada produk yang disebutkan di atas, terdapat satu lagi produk plastik terkemuka yang menjadi pujaan hati kaum ibu di Malaysia. Ya, kita menyentuh mengenai barangan jenama Tupperware!

Oleh kerana risau dimarahi si isteri, seorang lelaki, Mohd Fadli Salleh berkongsi satu kisah lucu yang dialaminya melibatkan barangan Tupperware. Fadli difahamkan pergi mengambil anaknya pulang daripada sekolah pada jam 6:30 petang.

Pergi ambil anak kat sekolah tadi dah jam 6:30 dah pun. Sampai kat jaga, Asyraff naik motor aku. Baru nak gerak, dia…

Gepostet von Mohd Fadli Salleh am Montag, 20. Januar 2020

Mohd Fadli Salleh/Facebook

Sampai sahaja di pondok pengawal, anaknya, Asyraff segera menaiki motosikal yang ditunggangnya. Baharu sahaja Fadli mahu mulu bergerak, Asyraf berkata, “Ayah, beg duit adik tertinggal di kelas. Ada RM8 dalam beg itu untuk dibelanjakan esok dan lusa”.

Fadli kemudian menyuruh agar anaknya membiarkan sahaja beg duitnya di kelas kerana esok pagi dia akan pergi melihatnya sendiri memandangkan Fadli merupakan seorang guru. Fadli sebenarnya malas mahu masuk ke dalam kawasan sekolah.

Mohd Fadli Salleh/Facebook

Menurutnya, jarak antara kelas Asyraff dengan pagar sekolah agak jauh. Jadi mereka berdua pun bergerak pulang tetapi secara tiba-tiba Asyraff berkata, “Botol air pun tertinggal, ayah”.

Seraya itu Fadli membrek motosikalnya dan berkata, “Kenapa tidak cakap? Duit hilang ayah boleh niat sedekah. Kalau botol air (jenama Tupperware) hilang, bukan setakat adik kena marah. Ayah pun mungkin hilang nyawa. Tupperware ke adik?”.

Anaknya kemudian menjawab bahawa dia tidak mengetahui jenama botol air yang dimaksudkan. Berasa bimbang ‘dimarahi’ sang isteri, Fadli membuat keputusan untuk berpatah semula ke sekolah.

“Ah, Tupperware ke Tipuware. Kalau tinggal botol air di sekolah boleh hilang nyawa woih”, tulis Fadli menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook. Ternyata isu ini tidak boleh dibuat main!

Lucunya, pada ketika dia masuk ke kelas Asyraff, dia terlihat ada seorang lagi lelaki yang ditemani anaknya baru sahaja keluar daripada di tingkat atas. Daripada jauh Fadli bertanya, “Kenapa itu, bang?”.

Tanpa disangka-sangka, lelaki itu menjawab, “Tertinggal botol air, cikgu!”. Fadli kemudian bertanya adakah botol air yang dimaksudkan itu berjenama Tupperware. Lelaki itu dengan segera menjawab botol tersebut sememangnya berjenama berkenaan.

Mohd Fadli Salleh/Facebook

Perkara itu lantas membuatkan mereka tertawa bersama. Tambah Fadli lagi, lelaki berkenaan kemudian lekas pulang sehingga tidak sempat pula dia mengambil gambar sebagai bukti. Guru berkenaan juga menambah bahawa lewat balik pun bakal disoal siasat oleh kaum hawa.

Jangan dibuat main barangan kesayangan kebanyakan kaum wanita ini ya kerana ada di antara mereka yang mengumpul wang sedikit demi sedikit untuk mendapatkannya. Malah ada juga yang membayar secara ansuran. Jadi, jagalah ia sebaik mungkin ya!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *